Ziarah Mahabbah Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan

15 Julai 2026

Alhamdulillah, pada hari Rabu bertetapan 15 Julai 2026, Persatuan Ittihad An-Nur Malaysia telah mengadakan Ziarah Mahabbah ke atas Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara Ittihad An-Nur Malaysia dengan institusi Mufti Wilayah Persekutuan, di samping membuka ruang perbincangan berhubung usaha memperkukuhkan gerak kerja dakwah, pendidikan Islam serta kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Matlamat seperti ini juga selari dengan pendekatan ziarah mahabbah yang sering dianjurkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai institusi Islam.
Dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan mahabbah, delegasi Ittihad An-Nur Malaysia turut mengambil kesempatan membentangkan penerbitan Maulid Arbain, di samping memperkenalkan peranan serta visi persatuan sebagai wadah yang menghimpunkan para graduan Hadramaut dalam menyumbang kepada pembangunan ummah melalui dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat.
Sahibus Samahah turut berkenan menyampaikan nasihat agar para ahli dan pendukung persatuan terus menambah kesedaran untuk:

  • Mencintai negara, menghormati undang-undang dan mendukung kepimpinan yang ada demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat
  • Membawa manhaj Hadramaut yang berteraskan ilmu, adab dan hikmah tanpa melupakan budaya serta identiti negara Malaysia
  • Mengadakan lebih banyak majlis dan program yang bersifat mendalam serta berfokus bagi mempraktikkan dan menghayati semangat hubbul watan minal iman dalam kehidupan bermasyarakat

Delegasi juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sahibus Samahah atas kesudian menerima kunjungan ini serta berkongsi pandangan, nasihat dan dorongan dalam memperkasakan usaha dakwah dan penyebaran ilmu di Malaysia.
Semoga ziarah yang penuh keberkatan ini menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara Ittihad An-Nur Malaysia dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan umat Islam yang berteraskan ilmu, hikmah dan kesatuan.

Post Tags :

Share :